Kod
Etika Perguruan
Matlamat utama pendidikan di Malaysia ialah untuk menampung
keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan Negara melalui perkembangan
individu yang bersepadu dan menyeluruh dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Pada amnya, guru
perlu pakar atau professional dalam segala bidang. Untuk menjadi guru yang
profesional, seseorang guru itu harus menekankan tiga aspek penting dalam
dirinya iaitu kepakaran, pengetahuan dan pembentukan sahsiah (Robiah 1998).
Guru bukan sahaja berkemahiran mengajar dan mengembangkan
ilmu, malah sikap, tingkah laku dan disiplin diri harus dibentuk kea rah
profesional. Laporan Suruhanjaya, Diraja Mengenai Perkhidmatan Perguruan
Malaysia Barat (Laporan Aziz,1971) telah mencadangkan supaya diadakan Etika
Profesion Perguruan (EPP) bagi pembentukan tatasusila guru. Semua guru yang
telah memperolehi sijil perguruan perlu mematuhinya. Pengamalan Etika Profesion
Perguruan di kalangan guru-guru adalah penting demi menjamin martabat profesion
perguruan sentiasa dipandang mulia di mata masyarakat. Kejayaan dan pencapaian
matlamat pendidikan berkait rapat dengan kesedaran guru terhadap tanggungjawab
sebagai pendidik selaras dengan Etika Profesion Perguruan yang telah
dimaktubkan dalam bentuk ikrar tercetak di halaman hadapan buku persediaan
mengajar seperti:
“Kami guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah
berusaha menuju kea rah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia,
yang bertanggungjawab dan berkebolehan………
………dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing
anak muda untuk mencapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini kami
menerima tatasusila berikut seperti panduan.
Dari penyataan ikrar dan kod Etika Profesion Perguruan di atas,
guru sesungguhnya mempunyai beban yang berat untuk dilaksanakan bagi melahirkan
modal insane yang berkualiti dan berketrampilan.
Peranan sistem pendidikan dalam sesebuah negara amatlah penting
untuk memastikan pembangunan negara. Bagi memastikan sistem pendidikan yang
berkualiti dan cemerlang, maka menjadi tanggungjawab guru untuk menyediakan
generasi yang berkualiti di masa akan datang. Ini bertepatan dengan salah satu
matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu menyediakan sumber tenaga
manusia bagi memenuhi keperluan kemajuan negara di masa hadapan. Maka, bagi
merealisasikan hasrat KPM, sebahagian usaha terletak di bahu guru. Guru bukan
hanya mempersiapkan para pelajar bagi menghadapi masa depan yang penuh cabaran,
malahan guru juga perlu melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan dan
kemahiran supaya menunjukkan kesungguhan dan mempunyai iltizam yang tinggi
dalam melaksanakan daya usaha bagi meningatkan kualiti pelajar yang bakal
dihasilkan. Sehubungan itu, Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah membangunkan
Standard Guru Malaysia (SGM) yang merupakan penanda aras bagi melihat sejauh
mana guru telah mencapai kompetensi profesional guru dalam tiga aspek, nilai
profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran
dan pembelajaran. Guru haruslah menguasai ketiga-tiga aspek kompetensi tersebut
bagi menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara
masa kini dan akan datang.
No comments:
Post a Comment