Ramai berpendapat
secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru merupakan suatu pekerjaan yang
murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yang
mengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan
tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan ‘jalan
mati’ setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai
tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum
tentang profesion guru. Namun sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan
sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu
menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan
menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan
yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan
sistem pendidikan tersebut khususnya di Negara kita seorang guru sering
menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik
darjah dan sekolah.
Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar
(mempersoalkan, mempertikaikan, ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu
(unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan
seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain), pekerjaan yang penuh dengan
cabaran. Oleh itu, secara lateralnya cabaran membawa maksud sesuatu hal atau
perkara yang menguji kemampuan serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya
dengan sesebuah organisasi. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang
guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam
melaksanakan tugasannya bukan sahaja dalam biik darjah namun di sekolah secara
amnya.
Antara cabaran
profesion guru di sekolah rendah ialah tugas seorang guru dalam menyampaikan
pengajarannya dalam bilik darjah. Buat masa ini guru terpaksa menggunakan
pendekatan, teknik dan kaedah yang terbaharu dalam sistem pendidikan yang
diperkenalkan. Cara ‘chalk and talk’ bukan lagi suatu kaedah yang sesuai. Guru
mesti menguasai kaedah pedagogi yang sinonim dengan pengetahuan sedia ada murid
yang bersifat homogenius, menggunakan bahan bantuan mengajar yang sistematik.
Apabila bahan bantuan mengajar digunakan guru terpaksa menggunakan teknologi
terkini dengan sumber kewangan yang terhad. Kaedah berpusatkan murid mesti
dilaksanakan dalam pengajaran seseorang guru. Guru kena berfungsi sebagai
medarator yang berkesan. Pencapaian objektif mesti berbentuk eksplisit yang
mampu merangsang murid memahami isi pembelajaran. Penilaian secara formatif
perlu dilaksanakan. Oleh itu, secara keseluruhan sistem penyampaian guru dalam
pembelajaran dan pengajaran bukan lagi berbentuk stereotaip tetapi berbentuk
proaktif.
Persediaan seorang
guru bukan lagi berbentuk nota atau ringkasan mengajar tetapi persediaan
mengajar yang lengkap bermula daripada set induksi, perkembangan isi
pengajaran, penilaian formatif dan kesimpulan yang dikaitkan dengan nilai.
Unsur nilai tambah seperti pembelajaran kontekstual, konstruktivisme,
pembelajaran masteri dan kecerdasan pelbagai juga perlu diterapkan yang
mempunyai kaitan dengan penyerapan dan penggabungjalinan dalam isi pengajaran.
Untuk menghadapi cabaran ini seorang guru perlu menggunakan peluang kursus penambahbaikan
pedagogi yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum Jabatan pelajaran dan Pusat
Perkembangan Kurikulum. Penggunaan bahan autentik sebagai bahan bantu mengajar
dapat menyelesaikan keperluan bahan bantuan mengajar dalam pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah. Semua ilmu pedagogi yang diperoleh akan dapat
dilaksankan dengan baik.
Selanjutnya,
cabaran lain yang terdapat pada seseorang guru ialah seorang guru diberikan
pelbagai jawatan yang bukan sepatutnya dilakukan oleh seseorang guru. Seorang
guru terpaksa memegang beberapa potfolio dalam sesuatu jawatankuasa yang
diwujudkan atas kapasiti yang tidak berkaitan dengan subjek yang diajar.
Sebagai contoh, seorang guru yang sudah dilantik sebagai Ketua Panitia subjek
terpaksa menjadi ahli untuk jawatankuasa bagi pengurusan Hal Ehwal Murid
seperti Bahagian Perabot, Keceriaan dan Keselamatan sekolah serta Pengurusan
Bangunan dan Pemuliharaan Bangunan dan pelbagai ini. Dengan kesibukan dalam
menyediakan rancangan pembelajaran dan pengajaran dalam kelas serta menanda
latihan murid seorang guru terpaksa menguruskan hal-hal yang sedemikian seperti
sistem pemfailan, inventori, rekod kemas kini dan sebagainya yang perlu
dilengkapkan dan diurus dengan baik. Cabaran ini kena dilaksanakan oleh guru
bagi membantu proses pembangunan dan aset sekolah. Untuk mengatasi cabaran ini
seorang guru perlu bijak mengagihkan masa semasa di sekolah iaitu menyampaikan
isi pengajaran dan melakukan penandaan buku semasa di bilik darjah. Dalam
proses tersebut guru perlu mengisi masa lapang atau masa tidak mengajar untuk
melaksanakan sistem pendokumentasian tersebut. Justeru itu, seseorang guru
perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan kerja-kerja
samping tersebut. Kerangkaan kerja perlu disediakan dengan lebih detail beserta
dengan senarai semak.
Di samping itu,
cabaran berkaitan dengan penyediaan pelbagai dokumen yang terlalu rencam serta
tidak melibatkan tugas utama seorang guru dalam pengurusan pembelajaran dan
pengajaran (PNP) dalam bilik darjah. Seorang guru seolah-olah terpaksa menjadi
kerani yang perlu mengisi pelbagai dokumen pengurusan pendidikan. Seorang guru
terpaksa mengagihkan pinjaman buku teks, sistem maklumat murid, sistem
kokurikulum sekolah dan borang-borang tertentu yang melibatkan murid yang
langsung tiada kaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah.
Kadang-kadang terdapat borang-borang yang terpaksa diisi secara ‘adhock’ dan
perlu disegerakan. Tugas guru yang sepatutnya lebih kepada pengajaran dan
mendidik telah lari daripada tugasan yang sebenar namun seorang guru perlu
melakukannya bagi keperluan dalam pengurusan pentadbiran murid. Pendapat ini
bersesuaian dengan kajian yang telah dikemukakan oleh Prof Dr Aminah Ayob Naib
Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim ( 2010 : Slide 21)
dalam pembentangan kertas kerja Pendidikan Guru Profesional : Cabaran Masa
Hadapan di Akademi Sains Malaysia menyatakan bahawa cabaran guru kini ialah
terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian di samping menyampaikan isi
pengajaran ketika mengulas satu artikel dalam suratkhabar. Justeru itu, untuk
menghadapi cabaran seseorang guru perlu memegang beberapa jawatan yang bukan
ada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dan penyediaan pelbagai dokumen,
seorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan
kerja-kerja samping tersebut. Takwim persekolahan mesti dikemas kini.
Kerangkaan kerja dan masa perlu disediakan dengan lebih detail beserta dengan
senarai semak. Patuhi jadual yang ditetapkan untuk memudahkan seorang guru
bergerak. Semua hal tersebut akan dapat membantu seorang guru melaksanakan
tugasnya.
Seterusnya,
seorang guru juga terpaksa menghadapi cabaran yang melibatkan dasar-dasar yang
telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya
seperti Dasar Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang
telah dimulai pada tahun 2002.Walaupun dasar tersebut melibatkan guru-guru yang
mengajar Sains dan Matematik namun dasar tersebut tetap dirasai oleh seluruh
warga sekolah. Pihak sekolah telah diarahkan untuk memastikan dasar tersebut
berjalan. Akibatnya terdapat unsur-unsur yang cuba mendiskriminasikan subjek
lain terutamanya bahasa Melayu seolah-olah bahasa Melayu bukan lagi bahasa
pengantar dan merentasi kurikulum sekolah. Walaupun dasar ini tidak selaras
dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 namun pihak sekolah tetap melaksanakannya
dengan matlamat untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di sekolah serta
meningkatkan peratus sains dan matematik seperti suatu formula ‘tiga dalam
satu’. Namun apabila kajian semula dilaksanakan atas persetujuan Mesyuarat Meja
Bulat Kementerian Pelajaran Malaysia dasar ini telah bersetuju untuk diubah.
Sekali lagi guru dihadapkan dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu
Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kalau mengikut proses dasar ini
melibatkan bahasa Melayu yang akan mengambil alih tempat bahasa Inggeris dalam
pengajaran subjek Sains da Matematik secara proses ‘soft landing’. Dasar ini
perlu dilaksanakan atas faktor yang dikemukakan dalam Buku Memartabatkan Bahasa
Melayu Memperkasakan Bahasa Inggeris ( 2011:8 ) oleh Kementerian Pelajaran yang
merasionalkan perubahan tersebut kerana berdasarkan kajian UNESCO yang
menyatakan murid lebih mudah mempelajari pelajaran dengan menggunakan bahasa
ibundanya dan profisiensi Bahasa Inggeris guru pada tahap cemerlang dan baik
hanya sekitar 25% sahaja. Bagi menghadapi cabaran ini seorang guru perlu
bersiap siaga dari segi mental dan fizikal kerana dasar yang sering
berubah-uabh. Namun hal yang demikian ini, tidak menghalang seorang guru untuk
mengikuti dan melaksanakan dasar tersebut mesti dilakukan hanya bermatlamat
untuk kejayaan murid. Oleh sebab kerangka masa telahpun ditetapkan maka seorang
guru akan akur dengan proses dan prosedur tersebut.
Tambahan lagi,
cabaran lain yang perlu dihadapi oleh seorang guru ialah cabaran
program-program kokurikulum wajib di sekolah yang mesti didedahkan kepada semua
murid. Kokurikulum yang terdiri daripada persatuan dan unit uniform perlu
diikuti oleh guru dan murid. Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan
program yang berkaitan dengan sukan iaitu ‘Dasar 1 Murid 1 Sukan’.Dengan
program tersebut ini bermakna tanggungjawab guru makin bertambah. Guru bukan
sahaja perlu melaksanakan aktiviti kokurikulum namun pengisian aktiviti
tersebut perlu ada perancangan yang lebih kemas kini. Bilangan hari yang perlu
berkokurikulum pula telah bertambah dengan penyusunan oleh pihak pentadbiran
kokurikulum iaitu Hari rumah sukan pada hari Isnin, 1 Murid 1 Sukan pada hari
Selasa, Kegiatan kokurikulum pada hari Rabu dan latihan pasukan sekolah kokurikulum
dan sukan pada hari Khamis. Hal ini menyebabkan seorang guru berada dari pagi
hingga petang di sekolah selama 4 hari berturut-turut. Bagi menghadapi cabaran
ini seorang guru perlu melaksanakan jadual yang berkala sifatnya iaitu
pengagihan kerja mengikut giliran bertugas iaitu seorang guru hanya perlu
melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sebanyak dua kali berselang minggu.
Kesimpulannya,
dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan
teknologi seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang makin hebat
sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Tugas mendidik dan
mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin
dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang
dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) supaya
menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai Wawasan 2020.
Oleh hal yang demikian, cabaran yang datang perlu disahut oleh seorang guru
sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dan
dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan walaupun sosiologi
sekolah tidak memberangsangkan. Itu tugas dan tanggungjawab seorang guru di
sekolah rendah.
No comments:
Post a Comment