Monday, 16 March 2015

CADANGAN MENGATASI BEBAN TUGAS GURU




CADANGAN MENGATASI

        Masalah beban tugas guru ini sukar untuk diselesaikan secara sepenuhnya tetapi beberapa tindakan boleh diambil bagi mengurangkan beban tugas guru antaranya ialah penglibatan ibu bapa dalam aspek pendidikan. Ibu bapa perlu terlibat sama dalam program-program sekolah bukan sebagai peserta sahaja malahan turut menjadi pengelola program. Sebagai contoh, semasa hari sukan tahunan, ibu bapa juga perlu melibatkan diri sebagai ahli jawatankuasa yang menguruskan sukan tahunan sekolah. ibu bapa boleh membantu dalam bahagian pengurusan peserta, pelepasan peserta serta ahli jawatankuasa keselamatan. Hubungan yang erat antara pihak sekolah dan ibu bapa memudahkan pengurusan dan pentadbiran sekolah.

Pembahagian kerja merupakan perkara yang penting dalam aspek kawalan dan pengurusan bagi menganalisis tugas dan pembahagian kerja secara terperinci, kemudian membandingkan dengan kemampuan seorang pekerja untuk melaksanakan tugas itu dengan terperinci. Gabungan antara tugas dan kemampuan bertujuan mewujudkan kecekapan (Abdul Shukur Abdullah, 1991). Guru Besar dan pentadbir perlu berbincang dalam pembahagian tugas kepada guru-guru agar pembahagian kerja tersebut adil dan mengikut kemampuan guru tersebut.

Semua program yang dianjurkan oleh organisasi luar perlu diuruskan sendiri oleh mereka serta aktiviti tersebut dijalankan di luar kawasan sekolah. Guru-guru dan pelajar pula hanya perlu menghadiri program tersebut sebagai peserta atau jemputan sahaja.Menurut Datuk Azam Mohd Atan (2010), Yang Dipertua Persidangan Kebangsaan Pengetua Sekolah Malaysia (PKPSM), apabila sekolah menjadi tuan rumah dan pengurus acara, sekolah ingin buat yang terbaik sedangkan persiapannya mengambl masa yang lama. Maka, lebih baik program yang dianjurkan oleh pihak luar diadakan diluar kawasan sekolah dan diuruskan oleh mereka sendiri. Hal ini akan meringankan beban guru kerana guru tidak perlu bersusah payah membuat persiapan untuk sesuatu program luar.

Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Ahmad Malie (2010) mencadangkan format untuk sistem data murid diselaraskan. Dengan itu, semua jabatan dan bahagian sama ada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah boleh mengakses kepada maklumat berkenaan dan mengambil maklumat yang sesuai dengan keperluan masing-masing. Sistem teknologi perlu berubah agar mampu memenuhi keperluan semasa.

Penggunaan ICT dapat meringankan beban guru di sekolah. ICT digunakan bagi memudahkan urusan pentadbiran, memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menyelaras aktiviti dan program. Semua maklumat lengkap berkaitan pelajar boleh disimpan menggunakan perisian Microsoft Access dan Microsoft Excel. Selain itu, ICT juga digunakan untuk mewujudkan pengkalan data soalan, kandungan pengajaran dan pembelajaran, persediaan pengajaran dan kandungan pengajaran. Hal ini dapat mempercepatkan masa dan meringankan beban guru.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia mencadangkan agar pihak pentadbir sekolah mengurangkan bilangan jawatankuasa pada peringkat sekolah kepada jumlah yang lebih wajar. Pada masa ini terdapat sekolah yang mempunyai hamper 40 jawatankuasa dalam bidang pengurusan dan pentadbiran, kurikulum, hal ehwal murid serta kebersihan, kecriaan dan keselamatan murid yang memerlukan curahan masa dan tenaga guru yang bukan sedikit. Pengurangan jawatankuasa boleh dilakukan dengan penggabungan dan pemansuhan jawatankuasa. Walaupun begitu, pembahagian tugas di sekolah perlu dilakukan secara adil untuk mengelakkan bebanantugas tertumpu kepada guru tertentu sahaja.

Selain itu, pihak kementerian perlu mengkaji semula bilangan peperiksaan dan ujian pada peringkat sekolah kerana terdapat sekolah yang mempunyai hampir 20 peperiksaan dalaman tidak termasuk peperiksaan awam. Pengurangan peperiksaan dalaman dapat mengurangkan beban guru untuk membina soalan dan menyemak skrip jawapan murid. Secara tidak langsung, pengurangan bilangan peperiksaan dapat mengelakkan negara daripada menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan. Murid perlu belajar untuk mendapatkan ilmu dan bukannya belajar untuk menjawab peperiksaan sahaja.

Menyusun semula tugas-tugas perkeranian di sekolah dapat meringankan beban guru di sekolah. Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju gutu tidak perlu dibebankan dengan tugas perkeranian yang terlalu banyak sehingga mengganggu tugas utama guru sebagai pendidik anak bangsa. Dalam usaha untuk melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, guru perlu diberikan banyak masa untuk merancang pengajaran yang lebih berkesan serta membuat persiapan mengajar. Maka, Jawatankuasa Bebanan Tugas Guru akan menyediakan garis panduan tugas utama guru dan tugas yang tidak boleh dilakukan oleh guru.

Kementerian Pelajaran disaran supaya mengambil kira faktor nisbah purata antara guru dan pelajar dalam kelas sebagai satu langkah mengenal pasti formula terbaik bagi mengurangkan beban kerja guru. Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia(GMGBM) Awang Mohamad berkata cadangan itu dilihat boleh membantu kementerian dalam mencari formula untuk mengatasi masalah bebanan tugas guru yang telah dibangkitkan selama ini. Satu daripada cara untuk meringankan beban kerja ini ialah dengan menambah bilangan guru, ertinya kalau sekarang satu bilik darjah 1.5 guru, sekarang satu bilik darjah 2.0 (ertinya satu bilik darjah ada dua orang guru). Langkah tersebut bertujuan membolehkan guru mempunyai masa yang cukup bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas teras, iaitu mengajar. Cadangan mengkaji purata guru dengan pelajar itu juga relevan dengan saranan beberapa pihak lain yang mahukan jawatan guru pembantu bagi mengatasi masalah yang sama. Selain dapat membantu meringankan beban tugas yang ditanggung guru, jawatan berkenaan boleh menyelesaikan masalah ketiadaan guru yang bergantung kepada guru sandaran tidak terlatih.

Guru perlu menguruskan masa dengan baik. Setiap orang akan menerima masa yang sama dalam sehari iaitu 24 jam sehari. Oleh yang demikian sepatutnya tidak ada diantar guru yang mengeluh tidak dapat menyiapkan tugasan dengan alasan tiada masa. Penggunaan masa dalam sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya akan memberi faedah hanya kepada mereka yang pandai menguruskan masa. Pengurusan masa yang baik dapat meringankan tugas yang ada.

1 comment: